KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Projek Pembinaan Jambatan Gantung Kampung Banggol Cempedak bernilai RM890,888 siap sepenuhnya dan diserahkan kepada penduduk setempat, sekali gus membuka potensi sebagai destinasi pelancongan baharu di Terengganu.
Projek berkenaan diluluskan di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI, dengan peruntukan keseluruhan RM2.5 juta yang disalurkan bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan desa dan bandar, kata Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
“Harapan kita supaya jambatan ini dapat dioperasikan secepat mungkin dan kawasan sekitarnya dapat dijaga dengan baik. Insya-Allah, dengan promosi dan publisiti yang berterusan, kawasan ini boleh dibangunkan sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di Terengganu.
"Terdapat sungai, chalet serta kemudahan berkhemah yang boleh dimanfaatkan oleh pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jambatan Gantung di Kampung Banggol Cempedak, Kuala Nerus.
Projek ini dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu bermula pada 23 Mac lalu, merangkumi fasa perancangan, perolehan, pembinaan dan pemantauan teknikal.
Jambatan gantung ini bukan sahaja menambah nilai kepada landskap kampung, malah berperanan sebagai lokasi rekreasi dan daya tarikan pelancong dari dalam serta luar negeri Terengganu.