MELAKA TENGAH, 16 Disember Sebanyak 1,976 kes penipuan dalam talian direkodkan di Melaka bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Disember 2025 yang melibatkan kerugian mencecah lebih RM65 juta.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, modus operandi penipuan termasuk pelaburan palsu, tawaran hadiah percuma, cabutan bertuah serta pinjaman dalam talian.
Mangsa bukan sahaja golongan dewasa malah kanak-kanak dan pelajar sekolah turut menjadi sasaran.
Namun, sindiket penipuan terus aktif dan beroperasi secara lebih tersusun menggunakan teknologi digital yang semakin canggih.
“Sistem tersebut berangkai dan bukan satu skim penipuan pinjaman wang, malah sistem itu saling berkait di mana setiap pilihan akan membawa kepada tawaran yang berbeza.
"Sekiranya memilih satu opsyen, individu terbabit akan ditawarkan pilihan lain, menyebabkan proses berkenaan berterusan tanpa noktah," katanya kepada pemberita selepas Program SWM Kasih Back To School Sekolah Kebangsaan Duyong di sini hari ini.
Tambah beliau, sekiranya cubaan awal tidak dilayan, kebarangkalian untuk berulang adalah rendah. Namun, jika cubaan pertama dilayan, ia boleh berlarutan sehingga melibatkan beberapa peringkat seterusnya.
Jelasnya, mangsa penipuan lazimnya terperangkap dalam rantaian ini, sekali gus menyukarkan usaha untuk menghentikannya.
Setakat ini, lebih 1,000 tangkapan dan 740 pertuduhan telah dilakukan.