fb fb fb fb fb

Jalur Gemilang terbalik pada jersi, satu kecuaian kritikal

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PONTIAN, 14 Disember- Isu Jalur Gemilang terbalik pada jersi Lee Zii Jia pada kejuaraan badminton Jelajah Dunia Akhir (BWF) 2024, Rabu lalu, dianggap sebagai kesilapan ketara. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berpendapat, meskipun permohonan maaf telah dikemukakan pihak Zii Jia, namun ia adalah kecuaian yang agak kritikal.

"Saya ambil maklum dipihak Lee Zii Jia telah ada permohonan maaf. Bagi saya, itu kesilapan yang agak ketara kerana baju itu dipakai oleh pemain yang cukup dikenali dan mewakili serta membawa nama Malaysia.

"Jadi, saya anggap itu satu kecuaian yang agak kritikal. Tetapi, kita ambil maklum sekiranya ada siasatan, maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat", katanya.

Beliau berharap masyarakat tidak sewenang-wenangnya memainkan isu berkenaan untuk mewujudkan provokasi dan mencetuskan ketegangan. 

Beliau ditemui dalam sidang media selepas Lawatan Kerja Meninjau Tapak Projek Pembuktian Konsep (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, Pontian, Johor.

ROSLINA BINTI DIN