GEORGE TOWN, 23 Oktober -Jalan Tun Sardon di Balik Pulau ditutup sementara sehingga pukul 6 petang Sabtu, susulan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang petang tadi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang menerusi kenyataan memaklumkan, penutupan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan di lokasi kejadian.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan," menurut kenyataan itu.
JKR turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama semua pengguna jalan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran kerja pemulihan.