KUALA LUMPUR, 25 Oktober - ASEAN perlu berpegang kepada dua tonggak utama termasuk keselamatan ekonomi dan daya tahan ekonomi bagi menjamin masa depan rantau ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keselamatan ekonomi tidak seharusnya disalah tafsir sebagai langkah pengasingan atau perlindungan berlebihan seperti diamalkan beberapa kuasa besar.
"Pendekatan ASEAN perlu kekal terbuka, namun tetap selamat. Tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha melindungi kestabilan rantaian bekalan serantau dan global, menjamin akses kepada barangan, tenaga dan teknologi kritikal, serta mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pasaran atau sumber pengeluaran tunggal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang berlangsung di sini, hari ini.
Tambah beliau, langkah itu turut merangkumi usaha memperkukuh keselamatan makanan, tenaga dan digital.
Selain membina keupayaan institusi untuk mengenal pasti serta menangani risiko sebelum menjadi krisis.
Sementara itu, jelas beliau, daya tahan ekonomi menuntut ASEAN memperluas pasaran dan rangkaian bekalan, memperdalam perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta mengukuhkan kerjasama dengan rakan yang sehaluan.
