fb fb fb fb fb

Tiada aktiviti pembangunan di cerun Paya Terubong

Foto fail/BERNAMA

GEORGE TOWN, 25 Oktober -Pemantauan dron oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati tiada sebarang aktiviti pembangunan dilakukan di kawasan cerun berhampiran Paya Terubong.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, kejadian tanah runtuh disyaki berlaku akibat penggelongsoran tanah secara semula jadi berikutan hujan lebat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan cerun berkenaan dari semasa ke semasa dan kekal dalam mod berjaga-jaga bagi mengelak sebarang risiko kejadian susulan.

"Dan pihak kerajaan juga telah menghantar satu pasukan untuk naik ke bukit untuk meninjau aliran air tersebut dan telah mendapati bahawa ada runtuhan. Dan pihak MBPP menghantar jurutera Geoteknikal untuk menggunakan dron untuk meninjau keadaan tanah runtuh di sana, dan kita telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membersihkan kawasan keruntuhan tanah tersebut. Saya rasa kita dalam keadaan berjaga-jagalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Seni Negeri Pulau Pinang 2025, di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah, Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Salmiyah Ahmad dan Pengarah JKKN Pulau Pinang, Eezmadyna Azalin Nordin.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah pasar raya di Paya Terubong pada waktu petang.

Insiden yang berlaku susulan hujan lebat itu tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan pada struktur bangunan, namun beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan dilaporkan terjejas.

TETITIA YUSOFF