JOHOR BAHRU, 25 Oktober - Kerajaan Johor bersetuju sekiranya hukuman rotan dikembalikan ke dalam sistem pendidikan negara, bagi membendung salah laku disiplin pelajar.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, namun begitu, hukuman berkenaan perlu dilakukan dengan betul, mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Di peringkat Negeri Johor kita bersetuju namun dalam masa yang sama kita pun tidak bergerak secara sendirian. Kerajaan Johor juga telah menyusun beberapa strategi untuk mengelakkan daripada kes-kes yang semakin menular ini," katanya.
Beliau ditemui semasa Perasmian JTDC Mega Kerja MYFUTURE JOB DI UTC Pasir Gudang di sini.
Satu jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan Kerajaan Johor bagi membanteras kes salah laku dan jenayah yang berlaku di semua sekolah di negeri itu.
Ia menghimpunkan pelbagai jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, bagi memperkukuh tindakan terhadap kes disiplin serta jenayah dalam kalangan pelajar.
Lebih 50 majikan daripada pelbagai sektor turut serta menawarkan 4,512 kekosongan jawatan dengan 40 peratus daripadanya menyediakan gaji premium melebihi RM3,000 sebulan.
Geran sebanyak RM1.5 juta turut diserahkan kepada empat institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat bagi memartabatkan pembangunan modal insan.