PUTRAJAYA, 25 Oktober – Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa hari ini diberikan sambutan rasmi sempena lawatan negara beliau ke Malaysia selama empat hari.
Ketibaan Presiden Ramaphosa pada pukul 4.00 petang di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara sebelum Presiden Ramaphosa memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 110 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Khairul Azmi Jamingon.
Presiden Afrika Selatan itu dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, pertahanan serta sains dan inovasi yang merangkumi bioteknologi, digitalisasi dan pembangunan modal insan.
Turut hadir meraikan ketibaan Presiden Ramaphosa ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Hadir sama beberapa menteri kabinet lain serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.