NILAI, 25 Oktober -Sebanyak 1,380 siren amaran awal banjir telah dipasang di kawasan yang dikenal pasti berisiko mengalami kenaikan paras air tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koordinasi telah dilakukan di peringkat negeri dan daerah, khususnya di kawasan hotspot yang kerap dilanda bencana.
Katanya, penambahan aset turut dibuat untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi bantuan lain termasuk polis, tentera dan pasukan keselamatan.
Pasukan sukarelawan akan digerakkan di seluruh negara bagi membantu operasi menyelamat dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir.
"Kita guna sistem amaran awal yang diberi oleh MetMalaysia. Kita lazimnya memaklumkan seminggu lebih awal sebelum luruan hujan di kawasan titik yang telah kenal pastu akan sampai dan kita minta pemindahan dilakukan tiga hari sebelum aras air meningkat tinggi dan luruan hujan di kawasan itu," katanya kepada media selepas merasmikan Himpunan Silat Pesaka Malaysia 2025 yang turut dihadiri Presiden Pesaka Malaysia Datuk Megat Zulkarnain Omardin, di sini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah kemungkinan banjir pada tahun ini susulan Monsun Timur Laut (MTL) meskipun ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan keadaan tidak seteruk tahun lepas.