fb fb fb fb fb

Jalan Gua Musang–Kuala Betis cepat rosak, penduduk rayu tindakan segera

FOTO RTM

GUA MUSANG, 2 September – Penduduk setempat melahirkan rasa kecewa apabila Jalan Gua Musang–Kuala Betis yang kerap diselenggara hanya mampu bertahan sekitar tiga bulan sebelum kembali rosak, dipercayai akibat penggunaan berlebihan oleh kenderaan berat.

Tinjauan di laluan Kampung Kundur hingga simpang Kuala Betis sejauh 10 kilometer mendapati banyak kerosakan ketara berlaku termasuk jalan mendap, pecah dan berlubang.

Seorang pengguna, Mohd Harimi Mat Zain berkata, meskipun kerja baik pulih dilakukan secara berkala, kerosakan tetap berulang dalam tempoh singkat.

“Jalan bukan tak baiki, selalu baiki, tapi paling tahan pun tiga bulan. Lepas tu rosak balik. Tampal pun tiga bulan rosak balik. Masalah ni isu keselamatan juga sebab dah ramai yang terlibat kemalangan,” katanya.

0209 KTN JALAN ROSAK1Mohd Harimi Mat Zain

Seorang lagi pengguna, Nor Amira Ab Latif turut mengakui kerja penyelenggaraan pernah dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun keadaan jalan tetap tidak selamat untuk digunakan.

“JKR dah buat baik pulih, tapi kerosakan tetap berlaku sebab gangguan kenderaan berat. Pagi-pagi saya sendiri rasa tak selamat, jalan mendap dan ada yang berturap tapi tidak dibaiki dengan elok,” ujarnya.

0209 KTN JALAN ROSAK12Nor Amira Ab Latif

Bagi Wan Nur Athirah Wan Yusoff pula, kewujudan lori balak yang kerap melalui laluan berkenaan menjadi punca utama jalan cepat rosak.

“Kalau jalan rosak sini memang teruk sebab lori balak lalu sokmo. Jadi jalan mendap dan bahaya bila berselisih, terutama di kawasan bukit. Mujur belum ada apa-apa yang buruk berlaku, saya harap pihak berwajib selenggara jalan dengan molek supaya pengguna lebih selamat,” katanya.

0209 KTN JALAN ROSAK1233Wan Nur Athirah Wan Yusoff

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim memaklumkan, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai isu berkenaan dan akan membawa perkara itu ke pengetahuan pihak bertanggungjawab untuk tindakan segera.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE