GUA MUSANG, 30 Disember- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menggunakan bantuan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menghantar sebanyak 20 tan bekalan makanan kepada keluarga orang asli di lima buah pos pedalaman di sini.
Ia berikutan jalan perhubungan ke kawasan itu terjejas akibat musim tengkujuh.
Bekalan makanan seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan barangan makanan lain dihantar kepada 1,097 Ketua Isi Rumah (KIR) orang asli di Pos Simpor, Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim.
Timbalan Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu Roslina Bun berkata, operasi itu menggunakan dua buah helikopter milik Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah.
"Pada hari ni JAKOA bersama JBPM kerjasama Angkatan Pertahanan Awam malaysia (APM) akan membuat penghantaran makanan ke pos-pos pedalaman terjejas akibat hujan.
"Hari ini kita akan ke Pos Gob dan seterusnya akan ke Pos Simpor dan ia juga bergantung kepada cuaca hari ini. Kita harap operasi ini akan berjalan seperti dirancang dan penerbangan dapat dilakukan sebaiknya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi penghantaran bakul makanan di Padang Kompleks Perdana di sini.
Operasi penghantaran bakul makanan di lima buah pos itu bermula hari ini dan dijangka berakhir pada 4 Januari depan.
Sementara itu Ahli Dewan Negeri Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, kesemua penduduk di kawasan pedalaman yang terjejas diharapkan supaya menjaga keselamatan keluarga masing-masing berikutan Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir.
"Ini adalah inisiatif Jakoa untuk membantu penduduk di pedalaman terutamanya di Nenggiri. Pos Gob menenpatkan 407 KIR dan saya mewakili orang asli mengucapkan terima kasih.
"Atas keprihatinan Jakoa dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) demi menjaga keselamatan penduduk berada di kawasan pedalaman," katanya.