KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Pameran aset dan kehebatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara tarikan pada siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pahang, Jumaat ini.
Diadakan selama tiga hari, JAKM Pahang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Darul Makmur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz berkata siri JAKM ke-12 itu yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Teras Pertahanan Negara' bakal menonjolkan kehebatan kesemua tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu darat, laut dan udara, dengan persiapan kini sedang giat dilakukan.

di Angkasapuri)
"Aset yang akan dipertontonkan antaranya ialah aset kenderaan dan aset persenjataan ringan dan berat, yang biasa digunakan tentera selain turut akan melibatkan pasukan khas seperti Gerup Gerak Khas, Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Tentera Udara Malaysia (PASKAU), yang semuanya menunjukkan kehebatan pasukan tentera kita," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan 'Bicara Naratif' di Angkasapuri.
Tambah Muez, JAKM ke-12 yang diterajui Kementerian Pertahanan itu bakal melibatkan penyertaan 25 kementerian, usahawan industri kecil dan sederhana, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang masing-masing akan mengetengahkan perkhidmatan serta produk masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual akan merasmikan JAKM ke-12, Sabtu ini.