KUALA LUMPUR, 5 Disember- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari individu yang menggelar dirinya sebagai Imam Mahdi di media sosial untuk berbincang dan memberi nasihat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, pihaknya telah berusaha menghubungi dan memanggil individu tersebut, namun gagal menyebabkan JAKIM terpaksa meminta bantuan PDRM.
"Kita bekerjasama dengan PDRM bagi mencari individu tersebut.
"Saya telah mengarahkan Pihak JAKIM menghubungi individu berkenaan bagi berbincang dan JAKIM akan memberi penjelasan dan dakwah yang perlu kita lakukan", kata Na'im yang ditemui media selepas merasmikan Pelancaran Transformasi dan Perubahan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) atau Transformasi Najjah di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade di sini.
Terdahulu media melaporkan individu yang menggelar dirinya sebagai Imam Mahdi di media sosial akan dipanggil oleh Jakim masa terdekat bagi tujuan nasihat atas kenyataannya itu.
Dalam perkembangan lain, Na'im turut memaklumkan pihaknya telah mengarahkan agar agensi agama untuk bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mengenalpasti lokasi-lokasi yang dilanda banjir untuk tujuan pemberian bantuan menerusi tabung Musaadah Rahmah Madani.
Tambah Na'im, bantuan tersebut akan memfokuskan kepada bantuan asas seperti barangan keperluan harian dan juga bantuan makanan.