fb fb fb fb fb

JAKIM laksana inisiatif digital baharu, MyHALALINGREDIENTS berkuat kuasa esok

FOTO FB Ketua Pengarah JAKIM

PUTRAJAYA, 14 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan pelaksanaan sebuah sistem baharu, MyHALALINGREDIENTS,berkuat kuasa ESOK.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif pendigitalan itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan memudahkan proses pensijilan halal Malaysia bagi semua skim pensijilan halal dan kategori syarikat.

Ia merupakan sistem pengumpulan data yang dibangunkan untuk merekod dan menilai semua bahan mentah yang digunakan oleh industri, dan akan diintegrasikan dengan platform sedia ada, iaitu MYeHALAL.

Sekali gus mengurangkan keperluan untuk mengemukakan dokumen fizikal secara berulang.

Jelas beliau, pelaksanaan sistem baharu tersebut akan memberi impak positif kepada semua pihak berkepentingan, termasuklah Pendaftaran yang Lebih Mudah, Semakan yang Cepat dan Cekap, Pengurusan yang Sistematik dan Pengurangan Tempoh Proses.

Bagi memastikan peralihan yang lancar, JAKIM mempelawa semua syarikat yang terlibat dalam pensijilan halal untuk mendaftar dan menyertai taklimat secara dalam talian pada 18 Ogos ini.

JAKIM turut menyeru semua industri yang terlibat dalam pensijilan halal untuk memanfaatkan sepenuhnya sistem baharu itu bagi memperkasa pensijilan halal Malaysia, seterusnya mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam industri halal.

EZA YUSMAWATI YAACOP