KLANG, 14 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya bakal mencipta sejarah apabila persembahan 'human graphic' buat julung kali digabungkan dengan nyanyian koir melibatkan 2,000 murid sekolah.
Gabungan berkenaan membabitkan 50 sekolah di seluruh Selangor bawah penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
Menurut Jurulatih utama koir, Ong Zen Kai, latihan telah bermula sejak awal Julai lalu.
“Ini adalah gabungan pertama koir dan 'human graphic' kerana sebelum ini kita hanya ada 'human graphic'. Tahun ini, kita ada kedua-duanya dan koir ini merupakan yang terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu seramai 2,000 orang.
Saya sangat bangga kerana kita dapat menganjurkan persembahan unik pada Hari Kebangsaan 2025 ini,” katanya.
Jelas beliau, persembahan itu dijangka menjadi kemuncak sambutan dengan mempamerkan semangat patriotisme dan perpaduan masyarakat majmuk berteraskan tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Bapak Mek Datang, Dia Datang, Wau Bulan dan Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, selain lagu khas bertema Malaysia Madani.
Persembahan 'human graphic' pula akan diiringi 12 lagu terpilih bagi memeriahkan acara.