fb fb fb fb fb

JAKIM diarah bekerjasama dengan SKMM, PDRM banteras ajaran sesat di media sosial

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

PUTRAJAYA, 21 Julai- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti sebarang isu berkaitan penyebaran ajaran sesat di media sosial.

Ini susulan tersebarnya video pengakuan berani pengikut ajaran sesat yang dibawa oleh Suhaini Mohammad (Sohai Ibnu Muhammad) atau SiHulk yang semakin berleluasa baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat itu juga diminta segera tampil membuat laporan kepada pihak PDRM, SKMM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Jadi amat penting dengan adanya kerjasama pihak SKMM untuk membuat rujukan dan membuat keputusan yang segera sebab harapan kita apabila video-video sebegini dimuat naik melibatkan ajaran sesat jika ada pakar rujuk maka mereka akan bertindak segera untuk menghapuskan sebelum video itu tular," katanya.

Jelas Dr Mohd Na'im lagi pihak JAKIM telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN iaitu Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan.

Beliau ditemui selepas mendapat kunjungan hormat daripada Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad bersama Ulama Al Azhar Al-Allamah Sheikh Dr. Usamah Sayyid Al Azhari di Kompleks Islam Putrajaya.

Ajaran sesat SiHulk kembali menjadi perdebatan hangat setelah beberapa video daripada individu yang menyatakan mereka menyokong fahaman yang dibawa tular di media sosial.

Antaranya video yang dimuat naik melalui Facebook Nurul Sakinah dan Iffat Muhammad yang bertajuk `Nabi Muhammad itu adalah Allah’.

Bagaimanapun setakat semalam, ia tidak lagi dapat diakses.

Mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam seperti penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.


(Tangkap layar video pengikut SiHulk yang tular di media sosial)

Media Baharu