fb fb fb fb fb

Murid cedera ditimpa tangki pam tandas diberi sesi kaunseling

(Pelajar Tahun Tiga yang cedera ditimpa tangki pam tandas)

IPOH, 21 Julai - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada seorang murid perempuan Tahun Tiga yang cedera selepas ditimpa tangki pam tandas di Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan, Taman Perpaduan di sini, pada Selasa lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menghubungi beliau pagi tadi.

"Sesi kaunseling akan dimulakan oleh pihak sekolah dan JPN, serta bantuan kepakaran dari Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi kaunseling.

"Perjumpaan dan perbincangan bersama ibu bapa mangsa akan dilakukan dalam masa terdekat, tengok keadaan adik (mangsa) macam mana terlebih dahulu, sama ada sesi kaunseling di rumah atau di sekolah," katanya selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Tambah beliau, bagi tindakan jangka pendek Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan akan memasang bracket (pengikat) pada kesemua tangki pam tandas di sekolah berkenaan.

(Tangki pam tandas jenis seramik terjatuh dari ketinggian 7 meter dan terkena kepala mangsa)

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Azizawati Ismail, 37, yang juga merupakan suri rumah berharap langkah segera dapat diambil bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Saya risau insiden yang sama akan berlaku lagi, kalau boleh pam tandas seraaik diganti dengan plastik untuk kegunaan pelajar di sekolah," katanya.

Malang tidak berbau itu menimpa anak keempat daripada lima beradik ketika dia hendak mengepam tandas selepas menggunakannya.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, tangki pam tandas jenis seramik terjatuh dari ketinggian 7 meter dan terkena kepala murid itu yang bersekolah pada sesi petang.

Murid itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemeriksaan X-ray mendapati tiada sebarang kecederaan serius pada murid tersebut.

Media Baharu