fb fb fb fb fb

Jakim anjur solat hajat dan doa selamat untuk Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Solat hajat dan doa selamat khusus akan dianjurkan bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mangsa tragedi di Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ia akan diadakan di tiga masjid utama bawah seliaan jabatan itu iaitu Masjid Negara di ibu negara serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

"Solat hajat dan doa selamat tersebut akan diadakan selepas solat Maghrib malam esok (Khamis 3 Oktober) dan selepas solat Jumaat pada 4 Oktober serentak di tiga buah masjid ini.

"JAKIM turut berbesar hati dan mengajak seluruh masjid-masjid, surau-surau dapat mengadakan solat hajat bagi memohon kepada Allah atas ujian yang menimpa ini," kata Sirajuddin dalam satu kenyataan.

Jakim turut menzahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel ke atas Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas mengakibatkan lebih 41,600 orang terbunuh kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 96,400 cedera.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres mengecam peluasan konflik di Timur Tengah dan berkata gencatan senjata amat diperlukan.

Tentera Israel mengumumkan pada lewat Isnin bahawa mereka telah melancarkan "kempen darat yang terfokus dan terhad" terhadap Hezbollah di selatan Lubnan dan media melaporkan 95 orang terbunuh dan 172 yang lain cedera akibat serangan udara dalam tempoh 24 jam lepas.

Di ibu kota Syria, Damsyik, letupan kedengaran di seluruh bandar apabila berita mengenai tentera Israel yang memulakan pencerobohan darat ke selatan Lubnan mula tersebar.

TETITIA YUSOFF