fb fb fb fb fb

JAIS seru individu miliki maklumat program eHATI tampil bantu siasatan

Sepasang suami isteri didakwa berselindung di sebalik program motivasi rumah tangga untuk menyebarkan fahaman sesat kepada wanita bekerjaya yang menghadapi masalah perkahwinan

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Pihak atau individu yang mempunyai maklumat berhubung penganjuran program eHATI digesa tampil menghubungi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kejadian yang didakwa berlaku di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada 27 hingga 30 September tahun lalu.

"Beberapa individu akan dipanggil pada Selasa ini selain bekerjasama dengan polis bagi menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing.

"JAIS akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (doktrin palsu) kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung agama Islam yang bertentangan hukum syarak," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular di media sosial program motivasi yang diadakan khas untuk peserta wanita di IDCC, yang didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh, dipercayai berlaku pada September tahun lalu.

Semalam, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah tersebut diambil bagi mendapatkan maklumat jelas sebelum sebarang tindakan diambil, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI