KUALA LUMPUR, 12 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pengekalan waktu bekerja syif 42 jam bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Presiden CUEPACS Datuk Dr. Haji Adnan Mat dalam satu kenyataan memaklumkan waktu bekerja tersebut terpakai ke atas 82,637 petugas kesihatan dalam lima skim perkhidmatan kritikal bawah kementerian itu.
"Langkah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mendengar dan memahami suara serta kebimbangan yang telah disuarakan oleh kesatuan sekerja dan para petugas kesihatan yang saban hari bergelut di barisan hadapan menyelamatkan nyawa rakyat tanpa mengira waktu dan keadaan.
"Keputusan untuk mengecualikan lima skim perkhidmatan kritikal daripada pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu adalah satu tindakan yang penuh hikmah dan selari dengan semangat Malaysia MADANI, yang mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penjawat awam," menurut kenyataan itu.
CUEPACS percaya bahawa pengekalan waktu bekerja tersebut akan membantu menjaga tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas kesihatan.
Selain itu ia sekali gus memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kekal pada tahap terbaik.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana terus memberi ruang kepada rundingan dan suara kesatuan sekerja dalam membuat keputusan dasar berkaitan perkhidmatan awam.
"Kami akan terus komited memperjuangkan kebajikan penjawat awam selaras dengan aspirasi negara," tambah kenyataan itu.