KANGAR, 12 Mac- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Kangar menggerakkan Operasi Bersepadu sepanjang Ramadan di seluruh Perlis.
Tumpuan utama operasi adalah premis yang menjual makanan dan minuman secara terbuka sebelum waktu ditetapkan, individu tidak berpuasa, kebersihan premis dan pelesenan perniagaan.
Menurut Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim, operasi tertumpu di beberapa lokasi sekitar Kangar, Kuala Perlis, Simpang Empat, Arau dan Padang Besar khususnya premis yang sering kali menjadi lokasi tumpuan mereka yang tidak berpuasa.
Justeru itu, beliau mengingatkan mana-mana peniaga agar mematuhi peraturan ditetapkan ketika menjual makanan dan minuman pada bulan Ramadan ini.
Tindakan tegas boleh dikenakan berdasarkan kepada Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991, menyaksikan pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 dan penjara tidak lebih dua tahun bagi kesalahan pertama.
Sekiranya kesalahan berulang, maka tindakan yang dikenakan ialah denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk memberi nasihat kepada seluruh umat Islam khasnya yang berada di negeri Perlis agar kita sama-sama mematuhi peraturan yang pertama yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan yang kedua peraturan yang telah ditetapkan oleh pemerintah untuk kita sama-sama mendapat keberkatan dalam kehidupan kita dunia akhirat,"katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas mengetuai Operasi Bersepadu sekitar Kangar bersama 20 pegawai dan anggota penguat kuasa.
Penguat kuasa JAIPs akan terus memantau setiap operasi premis yang menjual makanan dan minuman bersama agensi terlibat.