fb fb fb fb fb

Jaga kemuliaan institusi masjid, bukan tempat berpolitik - Menteri Agama

(Mohd Na’im Mokthar)

KUALA LUMPUR, 15 September- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokthar menzahirkan rasa bimbang terhadap tindakan pihak tertentu yang melibatkan institusi masjid dan surau dalam kancah politik kepartian. 

Beliau berkata, terdapat sesetengah pihak ingin menjadikan institusi tersebut sebagai platform awal untuk mengadakan perhimpunan berunsur politik yang boleh mengganggu-gugat fungsi masjid sebagai pusat penyatuan umat Islam.

"Apabila institusi masjid dan surau dilibatkan dengan kancah politik kepartian, ia akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat, selain mencemarkan institusi terbabit sebagai zon bebas daripada politik kepartian.

"(Justeru), semua pihak adalah dipohon supaya akur serta menghormati titah DYMM Tuanku-Tuanku Sultan agar tidak menyalahgunakan masjid atau surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian," katanya dalam kenyataan.

Mohd Na’im turut mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk membuat pemantauan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan serta mengambil tindakan, sekiranya ada mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu