fb fb fb fb fb

Agong sambut baik garis panduan pembangunan Bandar Diraja

PEKAN, 21 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menyambut baik cadangan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Bandar Diraja (GPP) yang diusulkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai panduan pembangunan merangkumi aspek warisan, identiti, ekonomi dan pelancongan.

Titah baginda, inisiatif itu bakal dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang, untuk persetujuan pelaksanaan.

Titah baginda lagi, garis panduan itu dilihat dapat mencantikkan dan menghidupkan semula keindahan sembilan Bandar Diraja, sekali gus menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara.

"Kemunculan reka bentuk bangunan dan seni bina yang moden tidak wajar menjadi faktor kepada kepupusan nilai seni dan warisan budaya tempatan.

"Pembangunan yang lebih mampan bersama usaha menjamin kelestarian alam sekitar, pengekalan elemen tradisional dan warisan seni bina tempatan pada hemat saya bakal menjadikan Pekan sebuah bandar yang unggul dan berupaya untuk dinobatkan sebagai satu daripada destinasi utama negara," titah Seri Paduka.

Tambah baginda, garis panduan itu juga membantu memelihara dan mengekalkan warisan kawasan berkenaan.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat pada Majlis Pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, di Pekan sebentar tadi.

Dalam majlis berkenaan, turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri KPKT, Nga Kor Ming.

Dalam majlis berkenaan, baginda turut memaklumkan sejumlah RM90 juta telah diperuntukan KPKT kepada Pahang, dengan RM12 juta daripadanya adalah peruntukan pembangunan landskap daerah Pekan.

Dengan peruntukan tersebut, baginda mengingatkan ahli perbandaran untuk sentiasa pro-aktif memperbaiki kelemahan sedia ada termasuk aspek kebersihan.

Media Baharu