RIYADH, 21 Oktober- Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Al-Yamamah, Riyadh, Arab Saudi.
Pertemuan rasmi empat mata itu adalah atas jemputan peribadi baginda kepada Anwar selepas Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berakhir semalam.
Kedua-dua pemimpin berkenaan membincangkan lebih lanjut mengenai isu Palestin.
Pada sidang kemuncak itu, kedua-dua pemimpin senada dalam membangkitkan kebimbangan mereka berhubung kezaliman dan penindasan Israel terhadap penduduk di Gaza.
Dalam pada itu, isu berkaitan kepentingan bersama termasuk peluang pembangunan kedua-dua negara turut dibincangkan.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, lawatan kerja dua hari Anwar juga menyaksikan beliau meneruskan perbincangan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala serta ekonomi antara Malaysia dan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:
Bincang konflik Palestin, Anwar dijangka bertemu Erdogan
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC: Anwar akan mengetengahkan konflik Palestin
Israel keterlaluan, tiada perikemanusiaan - Anwar