(Petugas melakukan simulasi sebagai Ketua Polis Daerah Klang Utara selaku
Komander Operasi Bencana memaklumkan situasi semasa bencana)
KAPAR, 17 September- Kesiapsiagaan hadapi bencana perlu dijadikan satu budaya dalam sesebuah komuniti.
Menurut Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Shahman Jalaludin, budaya berkenaan dapat membantu agensi-agensi kerajaan dalam bekerjasama dengan kesemua pihak dalam menjadikan komuniti menjadi lebih cakna akan situasi semasa di lokaliti masing-masing.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Simulasi Bencana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Daerah Klang anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Klang dengan kerjasama SeDAR Malaysia-Japan (JICA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Klang di Masjid At-Taqwa, Kampung Bukit Kapar, Klang, hari ini.
"Alhamdulillah, simulasi kita pada hari ini melibatkan pelbagai jabatan agensi daerah terlibat secara langsung.
"Kita dapati kesemua pihak telah bersedia dari segi latihan dan dari segi sumber manusia untuk menghadapi sebarang bencana," tambahnya.
Program kesedaran awam yang dikunjungi penduduk sekitarnya ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman tentang tindakan dan tatacara yang dilaksana secara lakon semula oleh agensi terlibat ketika menghadapi bencana dan pembukaan PPS.
((Dari kiri) Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Azmir Kassim,
Pegawai Daerah Klang, Shahman Jalaludin,
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Klang, Khairul Atha Annuar)
Bagi pengunjung, Hanim Binti Palil, 80; beliau selaku peserta warga emas amat menyenangi usaha yang dilakukan petugas simulasi ini.
"Saya berasa sangat selesa. Ketika hendak naik ke sini mereka angkat saya, saya sebagai peserta mengucapkan terima kasih."
Mohammad Rasul Alpi, 48 berpandangan bahawa pemilihan lokasi program ini adalah tepat.
"Pemilihan kampung ini sangat sesuai kerana baru-baru ini kita hadapai bencana banjir jadi pendedahan ini adalah sangat praktikal," katanya.
Manakala bagi Noraini Ibrahim, 49; ilmu yang diperoleh ini sangat berharga untuk dimanfaatkan ketika menghadapi bencana.
"Ilmu ini boleh digunakan sebagai persiapan diri kita apabila berlakunya banjir yang sukar dijangka.
"Dengan ini, penduduk kampung akan bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang oerlu dielakkan," jelasnya lagi.
Program melibatkan lebih 200 petugas terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Penerangan Daerah Klang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia(PDRM), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Air Selangor, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).