NANNING, 17 September - Lawatan kerja sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pastinya menyaksikan rovolusi dalam pertumbuhan ekonomi negara ke pasaran antarabangsa.
Perbincangan isu dua hala, serantau dan global antara yang dibahaskan dalam mencapai kesepakatan antara pemimpin ASEAN bersama rakan sejawatnya dari China menerusi Ekspo China ASEAN ke 20 (CAEXPO 20).
CAEXPO 20 membuka peluang berprofil tinggi untuk mendekati komuniti pelaburan dan perniagaan China.
Perdana Menteri berkata, ia khusus dalam menarik perhatian dalam pelbagai sektor khususnya sektor makanan, penjagaan kesihatan, pendidikan, pelancongan, perubatan dan logistik.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)
"Saya turut hadir kerana ada isu-isu tentang hubungan dua hala dan dengan ASEAN yang mahu dibincangkan bersama-sama selain daripada menyokong usaha syarikat-syarikat Malaysia dalam Ekspo China ASEAN ke 20 yang diselenggara," kata Perdana Menteri.
CAEXPO 20 akan terus berfungsi sebagai pemangkin untuk perniagaan Malaysia, memupuk kerjasama perdagangan ASEAN selain merangsang pemulihan ekonomi dengan anggaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2023 sekurang-kurangnya RM551 juta.
"Yang menariknya ialah penambahan pembelian kelapa sawit 500,000 tan yang akan tentunya menjamin kepentingan peneroka dan pengeluaran pekebun kecil kerana inilah kali pertama di mana penambahan besar oleh China secara tetap," katanya.
Tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dimenterai menerusi pameran terbesar China ASEAN kali ini beserta anggaran nilai pelaburan hingga RM17.34 billion dengan anggaran jumlah potensi perdagangan hingga RM2.5 billion.
Pertumbuhan ekonomi susulan pandemik dalam pelbagai sektor antara penggalak kepada penyertaan Malaysia dalam CAEXPO 20 sejak ditubuhkan pada 2004.
Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam kalangan negara ASEAN sekalipun perlu berhadapan dengan cabaran kritikal dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).