SUNGAI RAMBAI, 30 Oktober- Jabatan Perikanan Negeri Melaka melepaskan kira-kira 356, 260 benih pelbagai spesies ikan dan udang galah ke perairan sungai dan laut di negeri itu sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia termasuk pelepasan sebanyak 100,000 benih udang galah di perairan Sungai Rambai.
Beliau berkata, usaha itu untuk memberi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat selain memastikan stok bekalan makanan sentiasa bertambah.
(Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I,
Datuk Seri Ahmad Hamzah)
"Pada bulan September lalu, kita dapat lihat pembesaran ini cukup ketara sekali kerana daripada siasatan Jabatan Perikanan udang benih udang galah yang kita lepaskan pada tahun lepas, ia telah mula matang.
"Kita hendak melihat janganlah ada dalam kalangan nelayan kita menjaring, kita hanya membenarkan mereka memancing, kalau boleh biarlah udang-undang ini dapat membesar, berterlur dan membiak", katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Pesta Jejaki Udang Galah Peringkat Jasin di Laman Belia, Sungai Rambai.
Katanya, bermula tahun lalu, Melaka melesenkan sebanyak 194 sampan dan semua pemohon layak dilesenkan telah menghadiri temuduga yang diadakan Jabatan Perikanan Negeri.