fb fb fb fb fb

Jabatan khas ditubuh tangani isu pengabaian, penderaan kanak-kanak

(Datuk Seri Nancy semasa ditemu bual dalam Program Selamat Pagi Malaysia)

KUALA LUMPUR, 9 Januari- Sebuah jabatan khas akan ditubuhkan bagi menangani isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu telah dipersetujui secara prinsip oleh Kabinet.

Jabatan tersebut akan membaiki kelemahan sistem sedia ada sekali gus meningkatkan keberkesanan dan fungsi kementerian.

"Ia berada bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat tapi sebagai sebuah bahagian sahaja. Ia tidak mencukupi dan kita dapati kita memerlukan 'gigi yang lebih tajam lagi'. Kita tidak mahu kanak-kanak ini dengan mudah didera. Jadi kita akan lakukan penstrukturan semula untuk kementerian kita.

"Kita harap dalam bajet akan datang kita akan dapatkan satu bajet untuk apa yang kita akan bentangkan kepada kerajaan," kata Nancy kepada pemberita selepas menjadi tetamu program terbitan RTM di Angkasapuri di sini.

Beliau juga berkata, pihaknya akan menjalin kerjasama rentas kementerian untuk memastikan kanak-kanak yang ditempatkan di rumah perlindungan mendapat pembelaan dan peluang sewajarnya, meliputi hak mendapat pendidikan dan bersekolah.

"Saya pergi ke rumah perlindungan dan saya bertanya sendiri dengan kanak-kanak, ada yang belajar ada tak belajar.

"Jadi kita nak tahu sebab musababnya. Insya-Allah saya akan bincang dengan rakan-rakan menteri berkaitan untuk menangani masalah yang kita hadapi yang boleh dilakukan bersama," tambahnya.

Setakat Ogos tahun lalu, sebanyak 3,848 kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak telah direkodkan.

(Datuk Seri Nancy ditemui selepas selepas menjadi tetamu program terbitan RTM)

Media Baharu