fb fb fb fb fb

Jabatan Imigresen serbu dua premis, tahan 84 warga asing

(Warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen di Brickfields, Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Ogos - 84 orang warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan dalam serbuan ke atas dua premis berbeza di sekitar Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, lokasi pertama operasi dilakukan di sebuah 'private party' di Bukit Bintang, Kuala Lumpur manakala lokasi kedua pula di penempatan warga asing di Brickfields, Kuala Lumpur.

Dalam operasi pertama, 'private party' dianjur warga asing itu disertai majoriti warga Afrika.

Seramai 171 orang diperiksa manakala 25 orang lagi ditahan kerana tiada dokumen sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas.

Lokasi kedua pula serbuan dilakukan di sebuah kontena tiga tingkat yang menjadi penempatan warga asing dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal.

(Warga asing yang ditahan semasa menyertai 'private party' di Bukit Bintang, Kuala Lumpur)

Sejumlah 294 orang diperiksa, 59 orang lagi ditahan kerana tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah untuk tinggal serta peserta Program Rekalibrasi PATI yang ditolak.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Selain tahanan warga asing tersebut, beberapa orang warganegara tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

Media Baharu