KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Langkah penyelesaian isu rasuah dan penyelewengan secara menyeluruh melibatkan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pendedahan kes sindiket Fly dan U-turn antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, persoalan itu dibangkitkan oleh Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi soal jawab dan beliau juga ingin mengetahui tempoh masa isu tersebut dapat diselesaikan.
Pada sesi sama, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan garis panduan dan kriteria Jabatan Pengangkutan Jalan dalam meluluskan siri plat nombor kenderaan khas termasuk yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan atau entiti swasta serta jumlah kutipan hasil penjualan plat khas bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) pula mengajukan soalan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berhubung penambahbaikan penyaluran peruntukan tetap secara tahunan berbanding pemberian one-off kepada semua negeri bagi memastikan penyelenggaraan serta pengurusan banjir yang lebih holistik.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada terdapat usaha membangunkan sistem khusus bagi kerja-kerja menyelenggara sungai dan aset kawalan seperti Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS).
Sementara itu, Datuk Ali Biju (PN-Saratok) meminta Menteri Komunikasi menyatakan perancangan kerajaan bagi perluasan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) di Sabah dan Sarawak serta penyelarasannya dengan agensi kerajaan untuk kesiapsiagaan bencana.
Selepas tamat sesi itu, Ahli-Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan RMK13 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ yang menggariskan perancangan strategik negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.- BERNAMA