fb fb fb fb fb

Isu sempadan, PM hargai pendekatan damai Kemboja-Thailand

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan terhadap pendekatan matang yang diambil Kemboja dalam menangani isu sempadannya dengan Thailand.

Dalam satu hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar memaklumkan beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, bagi menilai perkembangan terkini berkaitan pertikaian tersebut.

Menurutnya, Malaysia menyambut baik pendirian Kemboja yang terus memilih jalan damai serta mengutamakan penyelesaian melalui rundingan dan dialog.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan, Malaysia mendukung sepenuhnya komitmen Kemboja untuk menggunakan saluran yang dipersetujui sebelum ini, selain mengangkat Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai asas penting dalam usaha menamatkan pertikaian berlarutan antara kedua-dua negara.

"Prinsip ini penting bagi memastikan sebarang perbezaan didepani dengan tenang, tersusun dan berasaskan persefahaman serantau," kata kenyataan itu.

Sebagai negara yang komited terhadap keamanan serantau, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab, terutama dalam membantu Kemboja dan Thailand mencapai penyelesaian berkekalan sekali gus memperkukuh kestabilan di rantau ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM