fb fb fb fb fb

Isu penipuan dalam talian, MCPF rangka pelbagai program sebagai pendedahan

KUALA TERENGGANU, 29 Jun- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu memandang serius jenayah siber khususnya aktiviti penipuan di talian iaitu Macau Scam yang menyebabkan individu atau mangsa kehilangan ribuan wang ringgit akibat terpedaya dengan tipu helah sindiket terbabit.

Sebahagian besar mangsa juga adalah terdiri daripada individu berpelajaran dan berjawatan tinggi.

Tegas Pengerusi MCPF Terengganu, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican, kempen kesedaran bersama melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan.

Kata beliau lagi, pihaknya kini sedang dalam proses merangka program serta aktiviti bersesuaian bermula di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negeri ini dalam tempoh terdekat.

"Yang saya nampak yang terkini yang kita perlu atasi scammer lah. Tidak kira penipuan, ada pelbagai antaranya penipuan menerusi dalam talian tentang wang, tentang Love Scam, tentang percintaan dengan menggunakan scammer. Jadi, mereka mencari mangsa-mangsa tanpa sedar," kata Datuk Dr. Mustapha selepas mengadakan lawatan hormat bertemu penasihat MCPF Terengganu iaitu Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa bertempat di Ibu Pejabat Kontinjen IPK Negeri, Kuala Terengganu.

Terdahulu, Datuk Dr. Mustapha bersama ahli jawatankuasa yayasan tersebut disambut para pegawai atasan IPK Terengganu berbincang dan kemudiannya diberi taklimat mengenai situasi terkini membabitkan jenayah siber, penipuan secara dalam talian serta beberapa jenayah lain di Terengganu.

Pada masa yang sama, MCPF Terengganu turut mengambil berat terhadap usaha pencegahan melibatkan komuniti masyarakat di negeri itu seperti ragut, samseng jalan raya, buli, ponteng sekolah dan sebagainya.


(Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa (kiri) dan Pengerusi MCPF Terengganu,
Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican (kanan)

Media Baharu