ALOR SETAR, 29 Jun- Bayi berusia 12 bulan antara 18 mangsa yang terselamat dalam kebakaran dua rumah jenis kayu di Jalan Dato Haji Shuib 2, Taman Sri Taman 2, Alor Setar semalam.
Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan hanya mengadu sesak nafas.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Pesuruhjaya Bomba, Syufaat Kamaron berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 5.54 petang.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Alor Setar dan Jalan Raja telah ke lokasi kejadian. Anggota bomba berjaya mengeluarkan sembilan mangsa dari rumah pertama yang terbakar kira-kira 95%," kata Syufaat Kamaron kepada pemberita RTM.
Tambah beliau lagi, pasukan penyelamat berjaya menemukan dua lagi mangsa yang terperangkap dalam rumah kedua yang terbakar kira-kira 5% itu.
Tujuh lagi mangsa telah berjaya keluar dengan sendiri dan turut musnah dalam kebakaran itu empat motosikal.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mendapatkan rawatan awal susulan mengadu sesak nafas.
(Anggota JBPM bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang berada di rumah ketika kebakaran berlaku)