fb fb fb fb fb

Isu MARA: SPRM dalam fasa akhir lengkapkan siasatan


KUALA LUMPUR, 17 Februari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam fasa akhir melengkapkan siasatan melibatkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) didakwa terlibat dalam isu integriti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata siasatan telah 99 peratus siap, dan akan diserahkan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan suruhanjaya, selain Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

SPRM dalam masa sama katanya sedang menyiasat berhubung dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation (MARA Corp).

"Fokusnya kita tengoklah, dari segi yang pertama kepada aspek terma rujukan penggunaan kad kredit terbabit, sama ada boleh digunakan untuk tujuan peribadi atau rasmi dalam siasatannya, dan kesimpulan keseluruhan berkenaan siasatan itu akan dibuat tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Program Excel ‘Corporate Liability and Organizational Anti-Corruption Plan’, di ibu negara.

Pada 5 Februari lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari lalu.

Media Baharu