(Sidang Dewan Rakyat)
KUALA LUMPUR. 10 Mac- Kerajaan berharap agar isu sosial melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diberi perhatian oleh semua pihak termasuk badan bukan kerajaan NGO dan masyarakat awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan memandang serius isu berkaitan golongan itu yang semakin membimbangkan akhir-akhir ini.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara dengan agama Islam sebagai agama Persekutuan, LGBT adalah bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia.
"Perbuatan homoseksual adalah bertentangan dengan undang-undang negara. bukan sahaja undang-undang jenayah syariah, malah juga undang-undang sivil. di bawah seksyen 377 Kanun Keseksaan.
"Adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah, katanya.
(Idris pada sidang Dewan Rakyat, hari ini)
Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Idris berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019-2025 bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya permasalahan sosial yang dihadapi masyarakat Islam di Malaysia.
"Ia membabitkan pelbagai isu seperti penagihan dadah, remaja hamil (tidak berkahwin), pembuangan bayi, perceraian, gelandangan, penularan virus HIV/AIDS, penagihan arak, seks bebas, sumbang mahram, jenayah juvana, amalan gaya hidup songsang dan sebagainya.
"Pelaksanaan PTSI juga mendukung Dasar Sosial Negara bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)," katanya.