KUALA LUMPUR, 25 Mac – Isu kontroversi membabitkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India mencapai penyelesaian selepas pihak pengurusan bersetuju berpindah ke tapak baharu yang terletak hanya 50 meter dari lokasi asal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata persetujuan itu dicapai hasil rundingan bersama kerajaan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Dr Zaliha, tapak baharu tersebut berkeluasan 4,000 kaki persegi, setara dengan saiz kuil sedia ada.
Lokasinya terletak di sebahagian Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.
“Pembangunan tapak baharu ini tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuat kuasa. Pihak kuil juga telah bersetuju dengan perkara ini,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL.
Beliau turut memberi jaminan, kerajaan tidak akan melakukan sebarang perobohan ke atas struktur kuil sedia ada.
"Kuil akan terus beroperasi seperti biasa sehingga proses penempatan semula selesai sepenuhnya dalam suasana harmoni," katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha menegaskan penyelesaian tersebut adalah khusus untuk kes berkenaan dan tidak boleh dijadikan rujukan bagi kes rumah ibadat lain.
“Setiap isu membabitkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.