PUTRAJAYA, 25 Mac - Sebanyak 723 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PGRM) sedang dilaksanakan di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Penganjurannya bermula dari 17 hingga 30 Mac membantu masyarakat mendapatkan barangan persiapan perayaan dengan harga lebih rendah.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, berikutan sambutan memberangsangkan, kementeriannya berhasrat mengatur lebih banyak lagi siri PGRM khas Aidilfitri sebagai inisiatif membantu meringankan beban masyarakat khususnya golongan memerlukan.
"Sebab itu kita atur sebanyak mungkin siri PGRM ini di seluruh negara khususnya di kawasan-kawasan golongan sasar. Kita tambah lebih lagi kekerapannya. Jadi kita berharap dengan adanya program intervensi sebegini, kita dapat untuk membantu meringankan beban masyarakat kita," kata Armizan.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Program Ihya Ramadan KPDN, di sini.
Siri PJRM Khas Aidilfitri memberi peluang kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan atau persiapan hari raya pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.