fb fb fb fb fb

Isu kesihatan mental: JAKIM perluas program terapi psikospiritual 

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang mendedahkan seramai sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar meminta beberapa agensi untuk menggerakkan program berkaitan termasuk terapi psikospiritual syarie.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah bersama-sama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk mengerakkan program-program dahwah, pembangunan insan serta terapi psikospiritual syarie di peringkat lapangan," katanya dalan kenyataan hari ini.

Mohd Na'im turut meminta program Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) yang dijalankan oleh JAKIM dan JAWI diteruskan secara aktif kepada masyarakat.

Semua masjid di bawah pengurusan JAKIM dan JAWI juga diarah melipatgandakan program kesedaran berkaitan isu kesihatan mental kepada masyarakat awam.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin dengan kerjasama startegik semua pihak, ia akan memberikan kekuatan kepada usaha-usaha menangani isu-isu kesihatan mental," katanya.

Terdahulu, tinjauan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan penduduk yang mengalami kemurungan meningkat dua kali ganda dari 2019 hingga 2023 dengan hampir separuh daripada mereka berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

SITI AISHAH MD ISA