PUTRAJAYA, 3 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi serta delegasi di Perdana Putra, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata pertemuan tersebut membincangkan kepentingan memperkukuh hubungan kedua-dua negara, terutama dalam hal berkaitan isu Palestin dan isu sempadan Malaysia-Indonesia.
"Perbincangan kami pastinya menyentuh isu Palestin, di mana Malaysia dan Indonesia sepakat memberikan sokongan teguh pada perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Gaza, serta penerimaan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
"Menyentuh isu sempadan Malaysia-Indonesia, kami senada mempergiat usaha dan perbincangan bagi mencapai kesepakatan dan penyelesaian menang-menang, khususnya membabitkan sempadan Sabah-Kalimantan Utara yang sedang dimuktamadkan", katanya menerusi hantaran di facebook.
"Terkait soal tangkapan bot nelayan membabitkan warga Malaysia dan Indonesia, kedua-dua negara akan menghormati proses perundangan yang berjalan dan sebarang perbincangan atau permohonan adalah tertakluk pada ketetapan dalam memorandum persefahaman (MoU) Common Guidelines.
Berkenaan tenaga kerja Indonesia pula, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia kekal komited untuk meningkatkan perlindungan hak asasi dan kebajikan lebih 500,000 pekerja Indonesia di negara ini.
Selain itu, turut dibincangkan krisis kemanusiaan yang membimbangkan di Myanmar.
"Saya nyatakan kesediaan Malaysia bekerjasama dengan Indonesia dan Laos bagi memastikan kesinambungan dalam usaha menyelesaikan krisis serta meneroka penyelesaian damai", kata Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar juga menghargai perkongsian Retno mengenai pengalaman Indonesia mempengerusikan ASEAN, sekali gus menjadi panduan berguna kepada Malaysia yang menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.