fb fb fb fb fb

Isu kes buli doktor pelatih perlu dibincangkan secepat mungkin

NILAI, 12 Mei - Kerajaan Negeri Sembilan akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Kesihatan negeri berhubung kes buli dalam kalangan doktor pelatih di dua hospital negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya tidak dapat campur tangan dengan lebih mendalam namun berharap perkara itu dapat dibincangkan oleh pihak berkaitan secepat mungkin.

Tambahnya, perkara itu menunjukkan bahawa jurang diantara doktor lama dan doktor pelatih perlu dikurangkan bagi menangani perkara yang sama berulang.

(Aminuddin kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Roadstone Sdn Bhd di sini)

"Kita tidak banyak yang kita boleh campur tangan tetapi, bagi pihak kerajaan negeri akan melihat perkara tersebut dan akan meminta laporan daripada Pengarah Kesihatan negeri untuk laporan tentang apa yang berlaku, tetapi kita tidak boleh campur tangan sebab itu bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia," menurut Aminuddin di sini.

Terdahulu terdapat dua laporan diterima berhubung kes doktor pelatih dibuli di Negeri Sembilan.

Laporan pertama melibatkan seorang doktor dikatakan menerima layanan tidak sepatutnya daripada doktor pakar yang melatihnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerana mengalami tekanan emosi.

Laporan kedua pula melibatkan seorang doktor pelatih yang mendakwa mentornya memberi penilaian tidak adil terhadap kerjanya yang dipercayai disebabkan isu komunikasi dan masalah peribadi antara mereka.

Media Baharu