fb fb fb fb fb

Isu keganasan rumah tangga akan ditangani secara bersepadu

PUTRAJAYA, 1 Februari- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang meneliti keperluan melaksana program advokasi disertai golongan lelaki bagi menangani isu keganasan rumah tangga.

Ia bertujuan meningkatkan lagi kesedaran berhubung tanggungjawab mereka menjaga isteri dan anak-anak dengan baik.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, isu keganasan rumah tangga perlu ditangani secara bersepadu.

"Kadangkala keganasan rumah tangga itu dilakukan oleh orang-orang yang kita tidak sangka. Biasanya program kesedaran dibuat untuk golongan wanita. Program pemerkasaan untuk golongan lelaki memahami tanggungjawab itu kita kurang," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Tabung Kasih kepada waris mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin.

Penjawat awam berusia 43 tahun itu dikejarkan ke hospital di Johor Bahru selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei 2021.

Jahidah kini di bawah jagaan adiknya di Sendayan selepas terlantar kaku dalam keadaan koma sejak lebih setahun lalu.


(Foto Hiasan)

Media Baharu