fb fb fb fb fb

298 murid orang asli Pos Brooke terima BAP

GUA MUSANG, 1 Februari- Ibu bapa dan penjaga dalam kalangan murid orang asli suku kaum Temiar di Pos Brooke di sini bersyukur dan menghargai sumbangan diberi kerajaan menerusi agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Bantuan tunai RM150 itu dapat meringankan beban belanja persekolahan anak-anak terutama bagi mereka yang hilang punca pendapatan kerana haiwan liar di perkampungan mereka.

Menurut suri rumah, Zaiton Anjang, bantuan itu dapat membantu persekolahan anak-anaknya.

"Bantuan ini meringankan kesusahan dialami keluarga kami terutama dalam pendidikan anak-anak. Duit berkenaan dapat digunakan untuk membiayai peralatan dan pakaian seragam sekolah menjelang sesi baru persekolahan tidak lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Seorang lagi suri rumah, Nur Mawar Alieena Pandak berkata beliau gembira kerana anak-anaknya mendapat bantuan tersebut.

"Dengan bantuan tunai itu saya dapat membeli barang-barang sekolah baharu untuk anak-anak. Terima kasih kerajaan," katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Wan Md Azrul Hisham Wan Mohd Ramli berkata sebanyak RM44,700 diperuntukkan kerajaan kepada 298 murid orang asli di Pos Brooke.

"Pihak sekolah mengharapkan agar peruntukan yang diterima setiap pelajar itu dapat digunakan sebaik mungkin untuk manfaat pelajar itu sendiri," katanya.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu