(Fadhlina Sidek)
TUMPAT, 15 Jun- Isu keciciran dalam kalangan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara agak membimbangkan, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beberapa faktor telah dikenal pasti berlakunya permasalahan itu termasuk faktor kemiskinan serta usaha ke arah mencari penyelesaian terbaik kepada isu tersebut sentiasa diberikan perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Jelas beliau, isu keciciran murid dan pelajar perlu diatasi semua pihak terutama ibu bapa dan bukannya harus dibebani oleh pihak sekolah semata-mata.
"Soal ketidakhadiran dan keciciran pelajar ini ia bukan sahaja tanggungjawab KPM, sekolah dan guru, ia mesti ada ekosistem pendidikan dari semua termasuk daripada ibu bapa dan komuniti.
"Kita banyak program intervensi khususnya untuk menarik pelajar datang ke sekolah seperti program Ziarah Cakna. RMT (Rancangan Makanan Tambahan) juga salah satu program yang kita hendak tarik pelajar supaya datang ke sekolah untuk mendapatkan makanan sihat.
"Tetapi sekali lagi, ia tidak cukup dengan kita (KPM) punya usaha sahaja, ia mesti datang juga daripada ibu bapa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sekolah Komprehensif K9 di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, di sini.
Data sebenar jumlah keciciran masih dikumpul pihaknya termasuk yang diperoleh daripada badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan sebanyak 8.4% daripada keseluruhan calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 tidak layak mendapat sijil berikutan gagal dalam subjek bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.
Namun jelas beliau, pelajar yang gagal mendapat sijil tidak sepatutnya bimbang kerana mereka boleh mengambil SPM ulangan selepas ini.
"Jangan kita noktahkan kegagalan itu di situ dan tidak layak sijil itu diperbesarkan, sebab SPM ini ada ulangan, jadi mereka boleh ambil subjek itu sahaja untuk memperbaiki sijil mereka. Insya-Allah kita akan bagi tumpuan perkara itu dan kita galakkan mereka untuk ambil semula dan ulang kertas tersebut," ujar beliau.
Pihak kementerian juga dalam proses untuk mengenal pasti punca pelajar berkenaan gagal dalam subjek tersebut.
(Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru di Tumpat, Kelantan)