fb fb fb fb fb

Aktiviti teknologi dan digital, Malaysia tawar ekosistem baik

(Foto Fahmi Fadzil)

LONDON, 15 Jun- Komuniti perniagaan dan pelabur antarabangsa yang terlibat sektor teknologi serta digital dipelawa menjalankan aktiviti di Malaysia.

Ini kerana terdapat banyak peluang dan kelebihan tersedia ke arah menjadikannya Harimau Digital Asia.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata negara menawarkan ekosistem yang baik untuk penggiat industri.

Malaysia mampu menarik potensi aktiviti membabitkan lebih 650 juta populasi ASEAN kerana terletak di tengah-tengah Asia Tenggara.

Memiliki perkembangan digital pantas aktiviti digital di rantau berkenaan, ia dijangka mampu mencecah nilai AS$300 bilion menjelang 2025.

Menerusi pelbagai inisiatif dan insentif diperkenal Putrajaya, Malaysia wajar menjadi pilihan pemain industri.

"Dengan kepesatan sektor ekonomi digital, kita mungkin mahu memikirkan tentang slogan baharu yang saya cadangkan iaitu Malaysia itu Asia. Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan pusat data. Kami berharap banyak syarikat teknologi dan perniagaan di United Kingdom (UK) mahu berbincang dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengenainya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yang dalam misi pelaburan sempena Minggu Teknologi London turut mengumumkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah ekspo digital yang menghimpunkan pemain industri tempatan dan antarabangsa pada November ini.

Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 dianjur KKD melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

MDX 2023 dirancang dianjur selepas menerima maklum balas positif sepanjang penganjuran Minggu Teknologi London.

Pelbagai peluang menanti para pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi meneroka potensi kerjasama.

Tujuannya tidak lain tidak bukan menjadikan Malaysia Harimau Digital Asia.

MDX 2023 yang bakal berlangsung selama seminggu menjadi platform kepada kerjasama pemain industri.

Antara disusun atur, penganjuran persidangan, pameran, acara pelancaran dan majlis anugerah. 

Ia juga dijangka menghimpunkan barisan tokoh terkenal dalam bidang teknologi dan digital.


(Foto Fahmi Fadzil)

 

Media Baharu