(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)
KUALA LUMPUR, 15 Jun- Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka dijangka bermula September ini melibatkan 12 lebuh raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sistem berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat di semua lorong tol yang terlibat.
(Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka dijangka bermula September ini melibatkan 12 lebuh raya)
"Peringkat awal ini, ada 12 lebuh raya yang telah bersetuju. Hasrat kita adalah untuk semua pada masa akan datang. Tetapi kita perlu tengok mungkin ada beberapa tol tidak dapat buat secara teknikal kami akan pertimbangkan", katanya pada Majlis Perasmian pembukaan Fasa dua Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Alam Damai, di sini hari ini.
Antara lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya Baru Pantai, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh raya Shah Alam dan Terowong SMART.
Inisiatif ini merupakan usaha kerajaan ke arah pelaksanaan sistem kutipan tol secara Multi-Lane Fast Flow (MLFF) yang dijangka direalisasikan menjelang akhir 2024.
Sistem pembayaran terbuka tersebut bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit untuk memudahkan dan melancarkan laluan di plaza tol.