fb fb fb fb fb

Isu kartel ayam: Laporan MyCC belum diterima

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) belum mengemukakan laporan terkini kepada Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi berhubung hasil siasatan dakwaan wujud kartel dalam industri ayam di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya belum mendapat keputusan terkini mengenai hasil siasatan tersebut.

Katanya, pihaknya juga masih meneliti keperluan untuk memanggil suruhanjaya itu untuk memberikan kemas kini hasil siasatan yang dijalankan.

"Sekiranya perlu, kita akan memanggil pihak berwajib bagi memberikan perkembangan terkini mengenainya.

“Kita cuma tahu secara umum berdasarkan kepada perbincangan-perbincangan dan kita tahu siapa pemain utama industri (ayam) dan sebagainya.

“Sama ada ia terwujud sebagai kartel dalam bentuk negatif, maksudnya kartel ada juga yang sihat. Kalau berpakat hendak turunkan harga, berpakat hendak memudahkan pengguna kartel itu adalah baik.

“Tapi yang kita maksudkan ini kartel (negatif ini adalah) bertindak semata-mata hendak memaksimumkan keuntungan dengan membiarkan pengguna menanggung akibat kerana mereka menguasai segala-galanya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menerusi pasukan khasnya sedang menilai laporan penyiasatan mengenai dakwaan kartel dalam industri ayam.

Memetik laporan Bernama, pada 28 jun lalu MyCC dalam satu kenyataan memaklumkan suruhanjaya itu yang diketuai oleh Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan lapan anggota MyCC bersidang semalam untuk pembentangan laporan penyiasatan oleh pasukan khas berkenaan.

(Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa (kiri) dalam sidang media
bersama Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan)

Menurut suruhanjaya itu, sekiranya terdapat bukti kartel, keputusan cadangan di bawah Seksyen 36 Akta Persaingan 2010 akan dikeluarkan terhadap pihak berkenaan, namun jika tiada bukti yang menunjukkan unsur-unsur pelanggaran, MyCC akan menutup penyiasatan selaras dengan Seksyen 16 akta sama.

MyCC menubuhkan pasukan khas tersebut susulan arahan daripada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) awal tahun ini bagi menyiasat dakwaan kartel dalam industri ayam.

Media Baharu