fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat lulus pindaan RUU Perhutanan Negara

KUALA LUMPUR, 18 Julai-Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh 13 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Kelulusan pindaan itu bertujuan memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran dan meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan hutan.

Pindaan membabitkan 62 Fasal yang merangkumi lapan daripada 10 bahagian bagi menambah baik Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Pindaan itu membolehkan pesalah hutan simpan kekal berdepan hukuman lebih berat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan, ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua berkata, pindaan itu adalah bagi mencapai lima objektif antaranya mengawal proses pewartaan keluar dan penggantian hutan simpan kekal (HSK).

Katanya, kurang 50 peratus kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung dibangunkan sebagai ladang hutan setakat ini membabitkan kawasan seluas 213,522.19 hektar atau 48.62 peratus.

Takiyuddin berkata penubuhan ladang hutan dibenarkan berdasarkan peruntukan seksyen 16 Akta Perhutanan Negara, namun ia perlu mematuhi keluasan zon yang diluluskan dan dikawal rapi oleh jabatan perhutanan negeri.

(Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan)

Terdahulu pada sesi perbahasan, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mencadangkan agar kerajaan persekutuan campur tangan dalam pembangunan tanah khasnya kawasan hutan yang sebelum ini di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

Katanya perlu ada sinergi antara kuasa kerajaan persekutuan dan negeri berkaitan pembangunan tanah kerana akhirnya kerajaan persekutuan yang akan bertanggungjawab.

Menurutnya, bila terjadi masalah bencana, kerajaan negeri tidak mampu menyelesaikannya dengan cepat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berpandangan konsep ladang hutan tidak harus diteruskan bagi mengelak ia disalah guna.

“Saya berpendapat Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 ini perlu mengimbangi keperluan bagi kedua-dua pihak.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini untuk memberi pampasan kepada kerajaan negeri yang mengekalkan hutan simpan.

“Tindakan ini bagi memperolehi situasi menang kepada kedua-dua pihak, contohnya kerajaan negeri Kedah yang sentiasa mengekalkan hutan simpan kekal,” katanya semasa membahaskan RUU Perhutanaan Negara (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan lain Ahmad Tarmizi turut mempersoalkan prosedur operasi SOP dan kaedah siasatan awam apabila berlakunya kelulusan pembalakan.

Jelas beliau, harus ada mekanisme khusus dan telus bagi mengelakkan campur tangan pihak berkepentingan seperti broker balak.

Wakil Subang, Wong Chen mengakui pindaan menerusi RUU ini adalah menyeluruh memandangkan isu hutan sangat penting dan berkait rapat dengan perubahan iklim.

"Ini merupakan satu pindaan yg cukup tebal dan komprehensif pada dasarnya saya sokong pindaan ini walaupun ada pindaan spesifik perlu dhuraikan, tetapi pada amnya pindaan ini memberi kuasa tambahan kepada kerajaan pusat ada kuasa hukuman penalti boleh menyekat pembalakan haram dslam masa sama berpeluang untuk uruskan pembangunan mampan bagi hutan kita," katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin ketika mengulas berhubung pengurusan hutan berkata, kerajaan negeri mempunyai hak mutlak keementara Kerajaan Persekutuan hanyalah bertindak dalam memberikan nasihat teknikal dalam isu yang terbabit.

Menjelaskan perkara itu, Takiyuddin berkata, peranan tersebut adalah berdasarkan Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan.

Berhubung hal ini, jelas Takiyuddin, kerajaan negeri akan dibantu beberapa platform perundingan dalam melibatkan isu-isu perhutanan.

Media Baharu