fb fb fb fb fb

Isu Jerebu: Pendekatan diplomasi, kerjasama teknikal dalam AATHP - Nik Nazmi

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Terdapat kekangan bagi mewujudkan perundangan rentas sempadan khusus menangani masalah jerebu yang berpunca dari negara jiran.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun berkata pendekatan diplomasi menerusi kerjasama teknikal dan kajian saintifik di bawah perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) telah dilakukan.

(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad)

"Antara kekangan untuk kita ada satu perundangan rentas sempadan ialah kerana ia perlu disokong oleh peta lokasi, koordinat, maklumat pemilik tanah dan syarikat beroperasi di lokasi kebakaran. Jadi jika tidak ada kesediaan negara jiran tersebut, kerana ini melibatkan kedaulatan mereka maka kita tidak akan dapat menguatkuasakan perundangan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad di Dewan Rakyat.

Tambah Nik Nazmi, kerajaan juga akan menambah baik pelan komunikasi insiden jerebu rentas sempadan.

Pada 6 Oktober lalu, NRECC dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) telah mengemukakan nota diplomatik kepada Indonesia bagi memaklumkan situasi jerebu di Malaysia dan kesediaan negara untuk bekerjasama dalam operasi pemadaman segera kebakaran yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan.

Media Baharu