(Mohamad Fazli (kanan) melihat kerosakan yang berlaku melibatkan struktur jambatan utiliti
yang senget di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang/ FB Komuniti Roda Johor)
PASIR GUDANG, 12 Oktober- Projek Jambatan Perigi Acheh di Tanjung Langsat di sini yang bernilai RM14 juta bakal dirobohkan dan dibina semula atas faktor keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja-kerja meruntuhkan struktur itu dijangka diselesaikan menjelang akhir bulan ini.
"Saya pun dah minta JKR daerah Johor Bahru untuk susun balik 'work' program supaya kalau ikutkan tarikh asalnya kita akan siapkan projek ini pada hujung tahun depan tapi kita minta JKR dapat berhubung dengan pihak 'consultant' dan juga kontraktor untuk kita susun balik'program supaya kerja-kerja ini dapat disiapkan segera," katanya.
(Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh)
Katanya, tindakan itu akan menyebabkan kerajaan negeri kerugian lebih RM1 juta melibatkan kos pembinaan asal struktur jambatan utiliti tersebut dan juga kos bagi meruntuhkannya.
“Kita dimaklumkan jambatan utiliti sepanjang 850 meter ini senget akibat mendapan tanah pada pukul 5 pagi, 17 Ogos lalu. Sehubungan itu kita telah ambil keputusan untuk meruntuhkan terus struktur jambatan ini demi tujuan keselamatan.
“Perkara ini juga perlu dilakukan segera kerana jambatan yang senget itu bersebelahan dengan sebuah restoran dan juga jeti nelayan di perkampungan ini. Jadi kita bimbang keselamatan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas melawat jambatan berkenaan, di sini.
Buat masa ini, penduduk di kawasan Perigi Acheh, Pasir Gudang menggunakan jambatan sementara bagi urusan harian mereka.
Tambah Mohamad Fazli, tujuan asal pembinaan jambatan utiliti tersebut adalah sebagai laluan kepada kabel elektrik dan juga bekalan air dihantar ke kawasan kampung.