(Muhamad Khairunizam menyampaikan sumbangan kepada anak sulung
Jen Enduro, Nur Farahin Mohd Zain di Kota Bharu, Kelantan)
KOTA BHARU, 12 Oktober- Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan meneruskan perlaksanaan program KELANTANfm Ambil Peduli dengan menyantuni penggiat seni tempatan yang telah menyumbang di stesen radio itu.
Selain menyantuni penggiat seni yang kurang bernasib baik, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu juga merupakan salah satu daripada sumbangan KELANTANfm menghargai mereka yang telah menyumbang kepada program di stesen radio berkenaan.
Terbaharu, KELANTANfm menziarahi bekas pendikir veteran, Mohd Zain Ismail, 62 tahun atau lebih dikenali Jen Enduro yang menghidap penyakit strok sejak setahun lalu.
Kunjungan diketuai Pemangku Pengarah KELANTANfm , Muhamad Khairunizam Abdul Salam.
"Kita telah merancang beberapa siri lagi yang akan kita adakan dan tahu depan pun kita masih akan tetap teruskan cuma mungkin tahun hadapan jika diberi rezeki yang lebih kita akan lebarkan lagi kita punya penerima bukan setakat kepada artis tempatan dan juga bekas-bekas staff KELANTANfm mungkin kita akan luaskan lagi kepada orang awam yang kurang bernasib baik," katanya.
(Pemangku Pengarah KELANTANfm , Muhamad Khairunizam Abdul Salam)
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anak sulung Jen Enduro, Nur Farahin Mohd Zain di Kota Bharu, Kelantan.
Mengulas lanjut katanya, sumbangan diberikan dalam bentuk kewangan dan diharap mampu meringankan beban keluarga tersebut dalam memenuhi keperluan perubatan pendikir itu.
Sebelum ini, Jen Enduro aktif dalam membuat rakaman dikir barat bersama KELANTANfm sama ada dibuat secara langsung di hadapan penonton atau secara tertutup di auditorium jabatan itu.
Sementara itu, Nur Farahin berkata, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat menampung pembelian keperluan ayahnya seperti susu formula khas dan lampin pakai buang.
Walaupun bapanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun perbelanjaan tambahan masih diperlukan mereka sekeluarga.
"Macam semangatlah macam rasa macam kurang sikit beban. Memang tiada pendapatan, adik-adik pun kerja biasa dengan saya pun tak dapat bekerja sebab kena jaga ayah," katanya.